SELAMAT HARI BAPA

Assalamualaikum…..
Nukilan ini abah coretkan buat kedua anak abah yang amat abah sayangi Muhammad Nur Aiman Harith ( YEOP ) & Muhammad Nur Akmal ( ADEK ). Abah tulis dari hati abah sempena hari Bapa. Selama ini kalian berdua yang kerap ucapkan Hari Bapa tapi kali ini kerana kalian makin dewasa abah terdetik untuk menulis buat kalian. Sewaktu abah memikrkan soal ini sahaja cukup membuatkan airmata abah mengalir buat kalian. Bukan kerana abah sedih namun kerana rasa sayang pada kalian yang tak mampu abah gambarkan dengan kata kata.
1. Aiman & Adik, perjalanan hidup bukan sesuatu yang mudah dan banyak perkara yang telah abah lalui apatah lagi 20 tahun diluar keluarga abah sendiri & hampir 15 tahun hidup bersama mama kalian berdua. Abah pasti akan tua. Kini usia abah bakal mencecah 42 tahun & abah tak tahu berapa lama lagi Allah masih beri ruang untuk melihat kalian. Apakah sempat untuk abah lihat kalian semakin menginjak dewasa. Membina keluarga serta membesarkan anak anak kalian pula yang merupakan cucu cucu abah.
2. Namun pasti sementara kematian mengintai hidup abah malah mungkin kain kapan abah sedang ditenun usia abah pasti meningkat saban tahun, saban bulan, hari, minit dan saat. Uban telah memenuhi kepala abah dan abah bangga dengannya.
3. Namun suatu hari apabila kalian makin dewasa dan abah kelihatan lebih tua serta mungkin banyak hilang kesabaran terhadap banyak perkara daripada apa yang biasa kalian biasa lihat cubalah fahami bahawa dalam hidup abah selama ini terlalu banyak perkara yang abah telan dan hadapinya dengan penuh kesabaran dan ianya merupakan suatu cabaran yang besar & hebat buat abah. Ketika kalian lihat abah makan agak kotor dan berterabur, memakai pakaian yang kurang sempurna dan kurang kemas abah minta bersabarlah. Ingatilah masa yang abah ambil untuk tunjukkan, betulkan dan ajari kalian tentang soal makan dan berpakaian.
4. Jika abah kerap asyik bercakap berulang ulang kali perkara yang sama janganlah menyampuk. Cubalah dengari dan fahaminya dahulu. Ketika kalian masih kecil abah tidak pernah jemu ingatkan kalian dan ceritakan kalian cerita yang sama berulang ulang kali supaya kalian faham. Malah hingga kalian tertidur di dada atau riba abah. Ingatlah abah pernah menjawab seribu pertanyaan yang berulang ulang dari kalian malah berulang ulang abah bacakan zikir sambil menghayun buaian agar kalian tertidur sambil mendengar kalimah Allah. Abah tepuk bontot malah menggosok gosok belakang kalian hingga kalian tertidur. Berulang kali abah cium dan perhatikan kalian tidur hanya kerana abah terlalu sayang.
5. Ketika abah malas mahu mandi janganlah marah atau berikan kata kata yang kasar. Ingatlah bagaimana abah memujuk kalian berkali kali untuk mandi malah ajak main air hanya supaya kalian mahu mandi dan dibersihkan dan jika abah kelihatan janggal atau kurang berminat pada teknologi baru berilah abah ruang dan masa untuk memahaminya dan janganlah pandang abah dengan pandangan seolah olah abah terlalu ketinggalan. Abah dibesarkan hanya dengan Tape Recorder & DOS sebagai komputer sedangkan teknologi berkembang jauh lebih cepat berbanding usia abah.
6. Abah ajari banyak perkara untuk kalian, bagaimana untuk makan teratur, untuk memakai pakaian dengan elok dan sempurna, abah ajari solat dan puasa dengan penuh kesabaran malah abah juga ajari kalian tentang soal kehidupan dan abah ingat setiap satu daripadanya ibarat layar perak dihadapan mata abah. Namun jika abah terlupa kerana semakin berusia atau perbualan kita terputus kerana abah terlupa, alpa atau termenung berikanlah abah ruang dan masa untuk mengingatinya semula dan sekiranya abah gagal mengingatinya jangan kecewa, merajuk ataupun marah. Yang utama buat abah bukan ingatan tersebut semata namun abah hanya ingin duduk bersama kalian walaupun tanpa sebarang perbualan yang mana ianya dihati abah tetap merupakan perbualan paling hebat yang abah pernah rasakan.
7. Janganlah paksa abah makan sekiranya abah tidak mahu, insyaAllah pada usia ini abah tahu bila abah patut dan tidak patut makan.
8. Aiman dan Adik, sekiranya kaki abah kian penat dan tidak kuat lagi untuk berjalan, pimpinlah tangan abah untuk melangkah dan berjalan sebagaimana abah memimpin tangan kalian sewaktu kalian baru bertatih dan sebagaimana abah sering memimpin tangan kalian setiap petang berjalan sekeliling rumah atau taman. Memimpin tangan kalian ketika berjalan sesuatu yang amat abah banggakan kerana abah ingin satu dunia tahu inilah anak anak abah. Hingga kini abah tidak pernah malu memimpin tangan kalian malah ada ketikanya kita berjalan berpeluk bahu ibarat rakan. Ingatilah saat saat itu.
9. Sekiranya tiba tiba abah bercakap seolah olah tidak mahu hidup lagi atau rasa amat tertekan, diselubungi kekecewaan dan rasa terdesak berikanlah abah ruang untuk bersendiri. InsyaAllah suatu ketika kalian akan faham bahawa hidup ini bukan mudah untuk dilalui. Tangis, ketawa, kecewa, hiba bakal bersilih ganti. Ada masa disayangi, ada dimasa dibenci. Ada masa sebenar dan sekuat manapun tetap akan kelihatan salah dimata orang lain. Malah mungkin dikecewakan oleh manusia yang paling kalian sayangi dan percayai.
10. Perlu menongkah arus. Suatu hari insyaAllah kalian akan mengerti kerana usia abah bukan hanya sekadar nombor dan umur namun ianya merupakan soal perjuangan untuk hidup yang mana kebanyakannya lebih buat kalian berdua berbanding diri abah sendiri.
11. Dalam hidup yang serba mencabar Allah mungkin sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut.
12. Aiman dan Akmal yang abah sayangi, jika kalian terlihat salah satu pintu kebahagiaan tertutup, insyaAllah yang lain akan terbuka tapi lazimnya kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama hinggakan kita tidak nampak pintu yang telah pun dibukakan untuk kita. Kawan yang paling baik ialah seseorang yang kita boleh duduk di tepi pantai bersama tanpa berkata apa-apa pun dan kemudian berjalan pulang dengan perasaan bahawa itulah perbualan yang paling hebat yang pernah kita alami.
13. Memang benar yang kita tidak akan tahu apa yang telah kita miliki sehinggalah kita kehilangannya dan juga benar bahawa kita tidak tahu apa yang kita rindukan sehinggalah ‘ ianya ‘ datang.
Memberi seseorang seluruh cinta bukanlah satu kepastian yang mereka akan mencintai kita kembali!!! Jangan harapkan cinta sebagai balasan. Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati kita sebagai sesuatu yang amat indah untuk dikenangi.
14. Berikan kasih sayang yang ikhlas tanpa harapkan balasan dan dalam soal kasih sayang pengorbanan amat diperlukan. Dalam hidup kita cuma mengambil masa sesaat untuk jatuh hati pada seseorang, satu minit untuk menyukai seseorang, satu jam untuk mencintai dan menyayangi seseorang tetapi ia akan mengambil masa sepanjang hayat untuk melupakan seseorang yang amat bernilai dalam hidup kita.
15. Kalian berdua jangan pandang kepada kecantikan semata mata dalam semua perkara kerana boleh jadi ianya palsu. Jangan kejar kemewahan semata kerana kemewahan pasti akan susut. Carilah seseorang yang membuatkan kita tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram. Carilah yang boleh membuatkan hati kita tersenyum. Namun ingatlah, kalian anak lelaki dan tanggungjawab kalian menjaga mama kekal sepanjang hayat apatah lagi ketika abah telah tiada. Hormati dan sayangilah mama 3 kali lebih daripada kalian harus sayangi abah. Walau apapun berlaku atau terjadi keatas mama & abah, satu perkara yang Aiman dan Adik harus tahu dan pegang serta simpan dalam hati sedalam dalamnya adalah dalam keadaan apa sekalipun MAMA & ABAH tetap sayangkan Aiman & Adik DUNIA & AKHIRAT.
16. Suatu masa akan tiba nanti di dalam kehidupan apabila kalian teramat rindukan seseorang sehingga kalian ingin menggapainya sekalipun dari mimpi dan ingin memeluknya walaupun sekadar sebentar. Mimpilah apa yang ingin kalian ingin mimpikan, pergilah ke mana-mana yang ingin kalian tujui dan jadilah apa yang kalian berdua inginkan kerana kita hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin kita lakukan. Namun ianya harus bersandarkan nilai budaya dan agama kita. Jangan langkaui perkara tersebut. Nilai, norma dan batasan agama tetap harus dijunjung dikepala walau dimanapun kalian berada.
17. Jangan tinggal solat serta jangan ambil ringan tentangnya walau kemana pelusuk dunia pun kalian berdua menjelalah. Ingatilah 1 – 6 – 5 iaitu kita sebagai orang Islam Tuhan kita hanya SATU ( 1 ) iaitu Allah. RUKUN IMAN yang ENAM ( 6 ) menjadi sesuatu yang kita mesti simpan dan terapkan dalam jiwa manakala RUKUN ISLAM yang LIMA ( 5 ) menjadi amalan dalam jiwa dan kehidupan kita. Jangan pernah lari daripada NILAI ini kerana ianya membezakan samada kita seorang Muslim ataupun tidak.
18. Abah doakan semoga kalian memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri kalian menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan kalian kuat, kesedihan yang cukup untuk mempastikan kalian adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan kalian berdua bahagia. Selalu bayangkan diri kita di dalam kasut seseorang. Jika kita rasa ianya menyakitkan kita, fikirlah, ia mungkin menyakitkan pemakainya juga.
19. Kebahagiaan seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik. Mereka hanya membuat yang terbaik dalam hampir apa saja yang datang di dalam perjalanan hidup mereka itulah yang terbaik sebenarnya. Kebahagiaan terletak kepada mereka yang telah menangis, mereka yang telah terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba sedaya upaya. Mereka yang ikhlas. Mereka yang menyebarkan kasih sayang. Hanya mereka ini yang boleh menghargai kepentingan manusia apatah lagi insan insan yang telah menyentuh hidup mereka.
20. Abah tidak punya ramai kawan. Namun kawan yang abah ada adalah sebenar benar kawan susah dan senang. Ingati dan lawatilah mereka apabila abah telah tiada. Mereka ini ibarat keluarga bagi abah. Ingatilah juga bahawa kawan kawan kita merupakan cerminan diri kita juga. Kawan yang baik takkan mahu membawa kita kearah yang lebih jauh daripada Tuhan. Begitulah juga yang patut kita lakukan pada kawan kawan kita. Kawan yang baik akan menilai buruk dan baik kita. Tidak akan pernah memihak kepada sesiapa khususnya jika dua kawan lain bertelagah pendapat. Ia akan bangun menceriakan keadaan. Kawan yang paling baik untuk kita kenali adalah apabila kita melakukan kesalahan atau kesilapan atau apabila kita teraniaya atau terjatuh dia masih disisi kita.
21. Berdirilah atas paksi kebenaran sekalipun jika kita terpaksa berjuang seorang diri daripada ditemani ramai namum berdiri di atas landasan kepalsuan. Segalanya Allah akan balas baik atau buruk. Dunia dan akhirat. Jangan jual kebenaran pada kebatilan sekalipun kita disanggah atau dicerca hina sekalipun. Akan tiba suatu masa bilamana satu kekurangan kita dinilai sehebat hebatnya berbanding seratus keikhlasan dan ketulusan yang kita berikan. Namun teruslah berdiri atas kebenaran walaupun perjuangan merentasi ranjau harus ditempuhi seorang diri. Ingat, Allah tetap bersama kita.
22. Ingatlah bahawa cinta seringkali bermula dengan senyuman, mekar dengan ciuman dan kasih sayang serta berakhir dengan tangisan. Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan lalu yang kita kerap dilupakan. Penipuan berleluasa diseluruh alam semesta dan penipuan akan mengililingi dunia terlebih dahulu sebelum kebenaran menyapa kita.
23. Suatu hari kalian akan faham dalam setiap kekurangan, kelemahan dan kesilapan abah dalam membesarkan atau dalam kehidupan abah, abah hanya selalu mahu yang terbaik buat kalian berdua dan abah sedaya upaya memberikan kehidupan yang sebaik mampu buat kalian. Malah abah cuba sebaik mungkin dengan kekurangan yang ada pada diri abah untuk menjadi panduan serta persiapan kalian memulakan hidup kalian.
24. Aiman, Adik….janganlah malu, sedih atau marah jika melihat abah seringkali mencium, memeluk atau mahu bersama kalian selalu. Fahamilah sebagaimana kalian amat memerlukan abah ketika kalian baru memulakan hidup dimuka bumi ini. Setiap ciuman dan pelukan abah hanya ada rasa bangga dan sayang terhadap kalian berdua dan abah tidak tahu berapa lama lagi masa yang Allah berikan pada abah untuk lakukan semua ini pada kalian.
25. Kita tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga kita melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam. Semasa kita dilahirkan, kita menangis dan orang disekeliling kita tersenyum. Teruskanlah hidup dengan penuh keimanan dan kekuatan agar apabila kita mati kelak, kitalah yang akan tersenyum dan orang disekeliling kita pula yang akan menangis.
26. Abah tidak mampu menahan airmata abah lagi kerana rasa terlalu sayang dan benda yang terlalu banyak yang ingin abah lakukan namun abah tahu kesempatan dan masa ini singkat. Namun, bantulah abah berjalan, pimpinlah tangan abah bertatih semula ketika usia abah makin menginjak lanjut dengan penuh kesabaran dan kasih sayang kalian hingga akhir nyawa abah. InsyaAllah, abah pasti akan balas dengan senyuman, kasih sayang dan doa abah yang tidak akan pernah putus buat kalian berdua.
Aiman, Adik….abah sayangkan kalian berdua lebih daripada apa yang kalian bayangkan…..
Daripada
ABAH ( MieAli )
Bangi
8 June 2014

Comments

Popular posts from this blog

LA GEAR

SAYA, AKU, ANA & AYE....

Pemandu Pelancong PART TIME